23 MEI 2026 – Program Sunathon Hero Iskandar Puteri 2.0 telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Taman Pulai Utama. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Pandak bin Haji Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar.
Program anjuran Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) ini melibatkan seramai 200 orang kanak-kanak yang menerima khatan secara percuma sebagai usaha menyantuni masyarakat serta meringankan beban ibu bapa.
Selain khatan percuma, setiap peserta turut menerima sumbangan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM50 serta tajaan pembukaan akaun Tabung Haji.
Program YPIP pada hari ini merupakan kelolaan YH Dato’ Radin Seri Kartini binti Abdullah dan Puan Hajah Azizah binti Nasabu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Penyayang Iskandar Puteri.
YPIP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, sukarelawan, petugas dan ibu bapa yang bersama-sama menjayakan program ini demi manfaat masyarakat di Iskandar Puteri.
