+607-559 0766 admin@ypip.my
MAJLIS KECEMERLANGAN SPM TAHUN 2025 DAN PELANCARAN BANTUAN TAMBANG BAS SEKOLAH YPIP TAHUN 2026
ISKANDAR PUTERI – Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Tahun 2025 sebagai penghargaan kepada sekolah-sekolah yang mencatatkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri serta dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, para pengetua sekolah dan guru besar.
Dalam majlis tersebut, YB Datuk Bandar MBIP turut menyampaikan Anugerah Sumbangan kepada Peningkatan Tertinggi Gred Purata Daerah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada tiga buah sekolah iaitu SMK Seri Perling, SMK Bukit Indah dan SMK Taman Nusajaya. Selain itu, Anugerah Lonjakan Saujana SPM 2025 turut diberikan kepada SMK Tanjung Adang sebagai pengiktirafan terhadap peningkatan pencapaian sekolah tersebut.
Dalam majlis yang sama, YPIP turut melancarkan Bantuan Tambang Bas Sekolah Tahun 2026 bagi membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan, khususnya melibatkan pelajar di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Program bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM89,280.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan YPIP dalam memperkukuh agenda pendidikan serta kebajikan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada generasi muda.
Tarikh: 21 Mei 2026
Need Help? Chat with us