Majlis Penyerahan Bantuan Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Yayasan Penyayang Iskandar Puteri telah berlangsung di Dewan Raya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Nusantara. Program ini bertujuan meringankan beban kewangan penerima dalam membuat persiapan menyambut perayaan serta mencerminkan keprihatinan berterusan pihak yayasan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Pandak bin Haji Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar. Turut hadir ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, Ahli-ahli Majlis MBIP serta para pemimpin masyarakat, yang bersama-sama menyokong pelaksanaan inisiatif kebajikan ini.
Seramai 350 orang penerima telah menerima bantuan tunai sebagai persiapan menyambut Tahun Baru Cina. Pemberian ini diharapkan dapat memberi kelegaan kepada penerima serta mengeratkan lagi hubungan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Iskandar Puteri, selari dengan aspirasi kerajaan tempatan dalam memperkukuh kesejahteraan dan perpaduan komuniti.
Tarikh: 7 Februari 2026
