Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) telah memulakan sesi pertama penyerahan bantuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi membantu golongan yang memerlukan membuat persiapan menjelang perayaan. Majlis ini telah berlangsung di Dewan Raya MBIP, Taman Nusantara.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Pandak bin Haji Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar. Bantuan ini merupakan salah satu inisiatif berterusan YPIP dalam menyantuni masyarakat serta meringankan beban kewangan penerima khususnya dalam menghadapi peningkatan kos perbelanjaan menjelang musim perayaan.
Terdahulu, Tuan Haji Mat Jaid bin Othman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, telah menyampaikan ucapan aluan. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program bantuan kebajikan ini serta berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat dan kegembiraan kepada para penerima.
Majlis ini turut dihadiri oleh barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan.
Melalui inisiatif ini, bantuan berupa wang tunai telah disampaikan kepada penerima yang layak sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan serta memberi keceriaan kepada penerima dalam menyambut perayaan bersama keluarga.
