Majlis Makan Malam bersama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri telah diadakan pada 28 November 2025 dan dihadiri oleh 15 keluarga yang menjadi fokus kebajikan YPIP dari kawasan Iskandar Puteri.
Majlis ini diadakan bertempat di Damai Seafood Village, Kg Sg Danga bagi meraikan keluarga-keluarga berkenaan dalam suasana mesra. Persembahan busker turut mengiringi acara sepanjang majlis makan malam berlangsung.
Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Pengerusi YPIP, bersama Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar MBIP; YB Datuk Pandak bin Ahmad, ADUN Kota Iskandar; YBhg Dato’ Haji Abd Rashid bin Kasman, Setiausaha Eksekutif YPIP; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP; serta Ahli Majlis MBIP. Para pemimpin ini meluangkan masa menyantuni dan berinteraksi secara langsung dengan keluarga-keluarga yang diraikan, menzahirkan iltizam terhadap agenda kebajikan YPIP. Majlis turut diserikan dengan kejutan sambutan hari lahir bagi tetamu yang meraikan ulang tahun pada bulan November.
Acara ini turut menjadi pengisian bermakna sempena meraikan Sedekad Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, yang menandakan 10 tahun dedikasi yayasan dalam memperkukuh usaha kebajikan dan pembangunan sosial masyarakat setempat.
Sedekad Berbakti, Terus Menginspirasi.