+607-559 0766 admin@ypip.my
ISKANDAR PUTERI, 7 Februari 2026 — Karnival Sepak Takraw Piala Yayasan Penyayang Iskandar Puteri telah berjaya dianjurkan pada 7 Februari 2026 bertempat di Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10. Penganjuran karnival ini bertujuan menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam aktiviti sukan di samping memupuk semangat perpaduan serta gaya hidup sihat.
Karnival ini telah disertai oleh 29 pasukan yang merupakan komuniti di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Sepanjang penganjuran, pertandingan berlangsung dalam suasana tertib dan kompetitif dengan menampilkan aksi permainan yang berkualiti serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Muhammad Farkhan bin Haji Haron, selaku Wakil Rasmi kepada YBhg. Datuk Haji Mohammad Khairi bin A. Malik, Ketua Whip MBIP. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan kepentingan penganjuran program sukan komuniti sebagai platform menyatukan masyarakat serta memelihara sukan tradisional agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, yang hadir menyantuni serta melihat sendiri kemeriahan Karnival Sepak Takraw pada hari ini
.
Perlawanan akhir telah berlangsung pada jam 10.00 malam yang menyaksikan pasukan SkudaiTen telah muncul sebagai johan keseluruhan dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 1,800.00, medal dan piala pusingan.
Penganjuran Karnival Sepak Takraw Piala Yayasan Penyayang Iskandar Puteri ini telah berlangsung dengan lancar hasil kerjasama erat antara pihak penganjur, agensi terlibat serta sokongan padu komuniti setempat. Program ini berjaya menghimpunkan penyertaan yang memberangsangkan dan dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

Need Help? Chat with us