+607-559 0766 admin@ypip.my
18 April 2026, Iskandar Puteri – Karnival Pickleball Amal Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di 91 Pickleball Clubhouse @ Skudai, menghimpunkan komuniti sukan dan masyarakat dalam suasana penuh semangat kesukanan. Program ini mencatat penyertaan sebanyak 103 kumpulan yang bertanding dalam lima kategori utama dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai bernilai RM22,628.
Penganjuran karnival ini turut bertujuan untuk mempromosikan peranan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) serta memperkenalkan pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh yayasan kepada masyarakat setempat.
Selain itu, karnival ini turut menyaksikan penganjuran klinik pickleball yang dikendalikan oleh pemain profesional negara, JT Wong, khusus buat murid-murid sekolah dalam kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Sesi klinik ini bertujuan memperkenalkan asas permainan pickleball serta memberi pendedahan awal kepada teknik dan kemahiran yang betul dalam sukan tersebut. Penyertaan murid-murid ini bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana karnival, malah menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memupuk minat terhadap sukan pickleball dalam kalangan generasi muda.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara merangkap Pengerusi Yayasan Penyayang Iskandar Puteri. Turut hadir ialah Tuan Haji Ezahar bin Abu Sairin, Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri merangkap Setiausaha YPIP, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abd Rashid bin Kasman, Setiausaha Eksekutif YPIP, barisan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, rakan strategik serta para penaja yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran karnival ini.
Karnival ini merupakan anjuran bersama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), 91 Pickleball Clubhouse @ Skudai, FSCO Elite dan Picklepalz, yang berganding bahu dalam memastikan kelancaran program. Selain menjadi platform mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan, karnival ini turut mengangkat elemen kebajikan serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan penaja atas sokongan dan sumbangan yang telah diberikan dalam merealisasikan kejayaan karnival ini.
Need Help? Chat with us