+607-559 0766 admin@ypip.my
UTM & Yayasan Penyayang Iskandar Puteri Bimbing Komuniti Kuasai Kanvas Model Perniagaan
Iskandar Puteri, 4 Oktober 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) telah menganjurkan Kursus Asas Keusahawanan: Business Model Canvas (BMC) bertempat di Dewan Seminar YPIP, Iskandar Puteri. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang ini menghimpunkan komuniti setempat khususnya belia, wanita, dan usahawan kecil yang berminat untuk memperkukuh pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta tentang asas Business Model Canvas sebagai satu kerangka strategik yang penting untuk membangunkan model perniagaan baharu atau menambah baik model sedia ada. BMC dilihat sebagai alat praktikal bagi usahawan dalam menyusun cadangan nilai, mengenal pasti segmen pelanggan, membina saluran pemasaran, serta memahami struktur kos dan aliran pendapatan sesebuah perniagaan.
Penguasaan terhadap BMC dapat membantu peserta untuk memahami keperluan sosial dan pasaran yang ingin ditangani, sekali gus merangka strategi perniagaan yang lebih berkesan dan mampan. Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah segmen pelanggan, tawaran nilai, saluran edaran, hubungan pelanggan, aktiviti utama, sumber utama, serta rakan perniagaan utama.
Para peserta juga diberi peluang untuk terlibat dalam latihan interaktif melalui contoh kajian kes seperti perniagaan kedai bakeri, yang menunjukkan bagaimana pelbagai aliran pendapatan dapat diwujudkan – antaranya jualan produk, tempahan borong, perkhidmatan katering, serta kelas atau bengkel pembuatan roti.
Need Help? Chat with us