Kursus Pemasaran Digital Berasaskan AI Perkasa Usahawan Komuniti MBIP
5 Oktober 2025 – Seramai 30 usahawan komuniti di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah menyertai Kursus Pemasaran Digital Berasaskan AI anjuran Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia Iskandar Puteri, dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dan Kolej Komuniti Bandar Penawar Cawangan Gelang Patah.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan tempatan tentang kepentingan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh strategi pemasaran digital serta meningkatkan daya saing perniagaan di era moden.
Kursus tersebut dikendalikan oleh dua penceramah berpengalaman, Encik Mohamad Haidhir bin Asri dan Puan Juainiah Umi binti Abu Bakar, yang berkongsi pelbagai kaedah promosi digital, automasi pemasaran serta penggunaan AI dalam analisis data pelanggan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Hajah Azizah binti Nasabu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Penyayang Iskandar Puteri. Turut hadir ialah Encik Mohd Halmi bin Asmani, Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Bandar Penawar, dan Encik Azril Khairul bin Ismail mewakili Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia Iskandar Puteri.
Penganjuran program ini diharap dapat menjadi platform kepada usahawan komuniti untuk memperkukuh kemahiran digital mereka, seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan transformasi ekonomi berasaskan data.