Program Menyantuni Warga Emas Masyarakat India Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-10 YPIP
25 November 2025 — Bersempena meraikan satu dekad penubuhan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP), Program Menyantuni Warga Emas Masyarakat India telah dianjurkan di Pusat Penjagaan Kebajikan Sherun, Bandar Selesa Jaya. Program ini bertujuan menghargai warga emas serta memperkukuh hubungan silaturahim antara YPIP dan komuniti setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP, iaitu En. Sekaran A/L Kaniappan, Cik Nyam Mei Ting, Tn. Hj. Mat Jaid bin Othman dan Puan Hajah Azizah binti Nasabu, bersama para pemimpin masyarakat India. Sepanjang program, YPIP menyantuni para penghuni pusat kebajikan sherun melalui makan tengahari bersama. Suasana menjadi lebih bermakna apabila warga emas diraikan dengan penuh mesra dan disajikan dengan persembahan istimewa.
Sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan, YPIP turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada pihak Pusat Penjagaan Kebajikan Sherun. Acara memotong kek sempena ulang tahun ke-10 YPIP turut diadakan sebagai simbolik keteguhan usaha yayasan dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat.