ISKANDAR PUTERI, 21 Disember 2025 – Program Khatan Perdana Iskandar Puteri sesi pertama bagi tahun 2025/2026 telah dilaksanakan pada hari ini bertempat di Sekolah Kebangsaan Gelang Patah.
Program ini merupakan anjuran Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Majlis ringkas bagi meraikan para peserta telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Penyayang Iskandar Puteri.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Seri Norliza binti Abdul Rahim, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang turut menaja simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada para peserta khatan YPIP dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000.
Sebagai kesinambungan program kebajikan ini, Yayasan Penyayang Iskandar Puteri akan melaksanakan Program Khatan Perdana YPIP di 10 lokasi dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bersempena musim cuti persekolahan pada tahun 2025/2026, dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 orang peserta.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan YPIP, MBIP dan PTPTN dalam memperkukuh agenda kebajikan serta kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak dan keluarga di Iskandar Puteri.